Kata Aluan YDP MASNITA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Bersyukur saya ke hadrat Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, saya telah diberi peluang untuk menerajui Persatuan Wanita Universiti Malaysia Sarawak atau MASNITA.

Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kerana memberi kesempatan kepada saya untuk menyampaikan kata-kata aluan di laman web rasmi MASNITA ini.

Sebagai Yang DiPertua baharu MASNITA, saya mengambil maklum bahawa MASNITA selama ini memang sentiasa bergerak aktif dalam memenuhi objektifnya iaitu untuk pembangunan wanita dan keluarga. Dengan kepercayaan dan sokongan padu pihak pengurusan UNIMAS, banyak aktiviti MASNITA telah dapat dijalankan dengan jayanya seperti kelas masakan, senamrobik, aktiviti pendidikan, kerohanian dan sebagainya.

Saya sangat berbangga kerana hasil usaha gigih ini telah jelas membuktikan betapa tingginya komitmen ahli-ahli MASNITA dalam menjayakan pelbagai aktiviti sepanjang tahun.

Saya juga berharap agar MASNITA tetap menjalinkan hubungan erat dengan semua badan kerajaan, kementerian, agensi-agensi kerajaan, pertubuhan-pertubuhan, sektor swasta, persatuan-persatuan wanita di Sarawak maupun di peringkat kebangsaan dan juga orang-orang perseorangan bagi membangun dan memartabatkan wanita di negara ini demi negara Malaysia kita yang tercinta.

Saya mewakili seluruh ahli MASNITA mengalu-alukan semua untuk mengunjungi laman web rasmi MASNITA ini. Semoga maklumat terkini mengenai MASNITA di laman ini memberi manafaat dan dapat dikongsi bersama.

Akhir kata sekali lagi syabas kepada semua ahli MASNITA yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam segala aktiviti dan program yang telah dirancang dan semoga semua kita lebih aktif lagi pada masa-masa akan datang.

Sekian, terima kasih.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ikhlas,
Datin Kartini Bt Ahmad
Yang DiPertua MASNITA

Loading ...