Mengenai kami

informasi png

Mengenai kami

Mari mengenali Pusat Pengajian Pra-Universiti Universiti Malaysia Sarawak. Dapatkan semua maklumat mengenai pusat ini daripada sejarah penubuhan sehinggalah kepada visi, misi dan objektif kami.

Sejarah

Pusat Pengajian Pra-Universiti (PPPU) menawarkan program Pra-Universiti khusus bagi menyediakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan kelayakan tertentu sebelum dapat mengikuti program ijazah dasar di universiti kelak. Program seumpama ini memainkan peranan yang sangat penting sebagai feeder untuk membekalkan kemasukan pelajar ke program ijazah dasar / tinggi di universiti, khususnya dalam bidang sains dan teknologi, dan sastera ikhtisas.

Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) merupakan antara institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang bertaraf universiti komprehensif di Sarawak khususnya dan di Malaysia amnya pernah menawarkan  program pengajian Pra-Universiti (matrikulasi) dari tahun 1995-1999 bagi tujuan seperti yang tersebut di atas. Selain itu, program tersebut juga berperanan sebagai saluran utama, khususnya untuk menyediakan pelajar yang layak dari komuniti luar bandar dan kawasan pedalaman Sarawak, sebelum mengikuti program ijazah di UNIMAS.

Ekoran pentingnya program pengajian Pra-Universiti sebagai feeder untuk menyediakan kemasukan pelajar ke program ijazah di universiti, maka pihak UNIMAS telah mencadangkan supaya Pusat Pengajian Pra-Universiti diwujudkan kembali di UNIMAS.  

Sehubungan itu, Mesyuarat Pasca Kabinet Bil. 15/2008 bertarikh 18 Jun 2008 yang telah dipengerusikan oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Pengajian Tinggi, telah bersetuju supaya Program Pengajian Pra-Universiti diwujudkan di UNIMAS dan akan mula dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK 10).  Perkara ini juga telah dibincangkan pada mesyuarat antara Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) dengan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UNIMAS pada 28 Julai 2008 bertempat di UNIMAS, Kota Samarahan. JPT telah meluluskan usul penubuhan Pusat Pengajian Pra-Universiti UNIMAS dengan penawaran 2 program teras iaitu Asasi Sains Hayat dan Asasi Sains Fizikal berkuatkuasa mulai sesi pengajian 2010/2011.