Thursday, August 22, 2019

Cetusan Inspirasi Pelajar Tahun Akhir (CIPTA 2012)

CIPTA2012

Pameran Cetusan Inspirasi Pelajar Tahun Akhir atau akronimnya CIPTA merupakan pameran hasil kerja Pelajar Tahun Akhir di Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak. Tahun ini, perasmian pameran CIPTA akan diadakan pada 24hb Mei 2012 dan bertempat di Panggung Eksperimen, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif UNIMAS. Dengan sukacitanya, majlis ini akan dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, YBhg. Datu Dr. Hatta bin Solhi dan dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor UNIMAS, YBhg. Professor Mohd Fadzil Abdul Rahman, pegawai-pegawai serta para pelajar UNIMAS.

Seperti yang sedia maklum, Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohammad Najib Abdul Razak telah mengisytiharkan tahun 2012 sebagai Tahun Gerakan Inovasi Nasional. Selari dengan aspirasi tersebut, Naib Cancelor UNIMAS, turut menyahut cabaran tersebut dengan mengadakan pelan strategik UNIMAS yang antaranya turut menekankan aspek ilmu dan kemahiran yang berasaskan inovasi. Dengan itu, pemilihan tema pemeran CIPTA 2012 adalah berteraskan ilmu dan kemahiran yang diperkembangkan melalui pemikiran secara kritis dan konstruktif.

Justeru itu, tema “i – Arts” telah dipilih sebagai tema CIPTA tahun ini. Sesungguhnya, “i – Arts “ menggambarkan inovasi seni yang bercirikan Ingenious (Pintar), Innovation (pembaharuan), Inspiration (inspirasi), Imagination (imaginasi), Intellectual (intelek), indigenous (peribumi), dan Identity (identiti).

Berasaskan tema tersebut, para pengunjung akan berpeluang untuk melihat pelbagai produk dan karya kreatif yang telah dihasilkan daripada Penyelidikan dan Projek Tahun Akhir pelajar dengan bimbingan penyelia mereka masing-masing.

Antaranya, produk Flip Chair karya Mohd Sazli yang telah memenangi anugerah  Malaysia Ideation Award 2012 dan  komposisi lagu pop rock Iban yang menggunakan alat muzik orkestra Barat yang merupakan hasil karya pelajar muzik, Darren Anak Zachius Nyalu @ Jaluk.

Sementara itu, pelajar sinematografi, Mohd. Azzaini akan menayangkan filem pendeknya “Bahu Kiri” yang mengisahkan pergolakan jiwa seorang remaja yang keluarganya berada di ambang penukaran agama; dan pelajar visual grafik, Rosmanita Binti Ramli juga tidak kurang hebatnya akan mempamerkan karyanya yang mengangkat kemashyuran filem Ali Baba Bujang Lapok selangkah lagi ke alam digital.

Sesungguhnya, pengunjung CIPTA2012 juga akan berpeluang melihat hasil karya pelajar tekstil dan fesyen, Ibrahim Bin Mamat yang menggunakan bahan pakaian terpakai dan bahan lebihan potangan fabrik serta merasai permainan beranimasi komputer hasilan Chia June Hau yang bertajuk ‘Rentap; the World Shaker’. Karya ini telah mampamerkan nilai serta ciri-ciri kepahlawanan Rentap.

Tidak ketinggalan juga bahawa hasil karya yang melibatkan seni halus, fotografi dan seramik turut akan dipamerkan semasa pameran CIPTA2012. “Genesis” oleh Fujica Anggo merupakan karya berupa penghargaan kepada semua kaum wanita dalam menukar persepsi stereotaip lelaki terhadap wanita. Selain itu, Juliandy Rifany pula telah menghasilkan karya “Domination and Endangered” yang menggunakan medium campuran sebagai satu makna yang cuba diadaptasi melalui hidupan liar yang diancam kepupusan.  Juga tidak kurang hebatnya, Mohamad Suffian dengan karyanya, “Behind The Zip” yang cuba memaparkan ‘kuasa kawalan’ ibu bapa terhadap pergerakan anak-anak mereka dan emosi remaja yang memberontak melawan ‘kuasa kawalan’ tersebut.

Di samping memberi peluang kepada pelajar untuk mengetengahkan produk dan hasil karya kreatif mereka kepada pengunjung yang terdiri daripada masyarakat umum, para akademik dan pengiat industri; pameran ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar terhadap aspek penganjuran serta membentuk semangat kolektif dan bertanggungjawab di kalangan pelajar yang terlibat.

Dengan kata lain, adalah diharapkan agar pameran ini dapat mendedahkan kebolehan yang dimiliki oleh pelajar kepada pihak yang berkenaan lalu membuka peluang kepada pengkomersialan produk dan hasil karya kreatif yang dipamerkan dari 24 – 29hb Mei, 2012 (9 pagi – 5 petang). Kemasukan adalah percuma dan orang ramai dijemput datang untuk mengujungi pameran seni ini.


Untuk maklumat lanjut, sila layari laman: CIPTA 2012