Sinergi kukuh : UNIMAS dan TEGAS tubuh Makmal STEM

ENCONPIX1

Enconpix2

 

KOTA SAMARAHAN,7 Oktober 2015 : Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan kerjasama Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS) akan menubuhkan makmal pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di Fakulti Kejuruteraan, UNIMAS.Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri( Promosi Pendidikan Teknikal), Datu Haji Len Talif Salleh berkata, penubuhan makmal tersebut dilihat dapat mempromosi serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan STEM.
“ Oleh demikian, Kerajaan Negeri berharap kepakaran yang ada di Fakulti Kejuruteraan UNIMAS dapat memberi sinergi ke arah objektif pendidikan STEM untuk menyokong keperluan dan kehendak masyarakat, industri mahupun agensi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan UNIMAS STEM EnCON2015 yang bermula hari ini sehingga 9 Oktober nanti.
Datu Haji Len Talif yang juga Menteri Muda Alam Sekitar Sarawak mengucapkan tahniah atas penganjuran persidangan itu yang dilihat dapat mengalakkan kerjasama di antara jurutera dan para akademik dan saintis seluruh dunia, ke arah pencapaian bidang kejuruteraan yang lebih baik di masa hadapan.
Malahan, jelas beliau, persidangan itu selari dengan fokus ke arah Latihan Pendidikan Vokasional dan Teknikal (TVET) yang dapat membantu meningkatkan keperluan industri untuk pekerja mahir menjelang Rancangan Malaysia Kesebelas kelak.
“ Fokus TEGAS adalah untuk menyediakan pekerja mahir di Sarawak pada masa hadapan terutama untuk 1.6 juta pekerjaan tambahan yang diperlukan untuk pembangunan projek SCORE dengan keperluan lebih kepada tenaga kerja teknikal dan vokasional,” katanya.
Manakala dalam ucapan Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dato’ Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, universiti ini akan terus berusaha meningkatkan kekuatan di dalam Pembangunan dan Penyelidikan (R&D).
“ Setiap tahun, para akademik UNIMAS telah menunjukkan kepakaran dalam bidang masing-masing dan atas kejayaan di dalam penyelidikan yang dibuat, kebanyakan mereka menerima tajaan dari beberapa pihak sehingga membolehkan UNIMAS menjadi universiti ketujuh terbaik di negara ini.
“ Kita juga telah berjaya mendapat lima bintang dari penarafan SETARA yang dilakukan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam bidang pengajaran dan pembelajaran dan sebagai universiti awam penuh di Sarawak, kita akan memainkan peranan dalam membantu membangun dan mempromosi SCORE di negeri ini” katanya.
Sementara itu, tema persidangan kali ini adalah ‘ Engaging Industries and Society through Innovative Engineering and Technology’.
Antara bidang utama dalam persidangan EnCon kali ini adalah berkaitan promosi STEM dengan ucaptama telah dilakukan oleh Profesor Dr Nasruddin Abdul Rahim dari Universiti Malaya dan Profesor Madya Dr Tan Kay Chen dari National University, Singapura.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan majlis pertukaran Memorandum Perjanjian dan Memorandum Persefahaman di antara Fakulti Kejuruteraan dan enam syarikat terdiri daripada Shorefield, One Medicare, X-Fab Sarawak, SACOFA, Infra Tech Geo Solutions dan Elcorp Technology.
 
Artikel oleh: Sarena bt Haidir
Foto oleh : Azlandy MAT
 
 
Loading ...