• default style
  • blue style
  • green style
  • red style
  • orange style
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

UNIMAS dapat pujian : Lahirkan graduan glokal

on Sunday, 15 November 2015 20:53.

 

KOTA SAMARAHAN, 15 November 2015 : Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan Haji Satem memuji warga UNIMAS yang telah membantu dalam melahirkan para graduan yang telah dididik secara holisitk dengan acuan glokal iaitu gabungan ilmu global dengan pengalaman lokal (setempat).

Berucap semasa menyempurnakan sidang kedua Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-19, Ketua Menteri menambah warga UNIMAS juga telah memainkan peranan yang baik dalam penyediaan  ekosistem pengajian tinggi yang bersifat kondusif serta terpimpin untuk para pelajar sepanjang tempoh pengajian di UNIMAS.  

Menurut beliau, Sarawak sememangnya sebuah negeri yang bertuah kerana mempunyai universiti seperti UNIMAS yang mempunyai prasarana lengkap selain banyak membantu kejayaan sektor pendidikan dan ekonomi di negeri ini.

Ketua Menteri yang juga Pro-Canselor UNIMAS turut menasihati para graduan supaya mengambil langkah-langkah berterusan untuk menguasai Bahasa Inggeris tanpa mengenepikan bahasa ibunda iaitu Bahasa Malaysia.

Beliau berkata, ini kerana, Bahasa Inggeris bukan sahaja bahasa ilmu tetapi bahasa yang digunakan dalam alam perniagaan.

“ Penguasaan bahasa akan membuka pelbagai peluang dan ruang menimba lebih banyak ilmu pengetahuan dan kepakaran yang mungkin belum pernah difikirkan suatu ketika dahulu,” katanya.

Beliau berkata, malahan, menguasai Bahasa Inggeris juga boleh membantu dalam meneroka ruang dan peluang pekerjaan dalam dunia global seperti peringkat antarabangsa.

“ Namun ini tidak bererti kita mengabaikan kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi di negara ini,” sambungnya.

Sementara itu, sidang kedua hari ini yang diadakan pada sebelah pagi menyaksikan 593 graduan dari Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS) telah menerima ijazah masing-masing.

Penyampaian ijazah telah disempurnakan oleh graduan dalam sidang ini terdiri dari graduan FSTS dalam program bioteknologi sumber, kimia sumber, sains dan pengurusan sumber akuatik, sains dan pengurusan sumber tumbuhan dan sains dan pengurusan sumber haiwan.

Artikel oleh : Sarena Haidir

Foto oleh : Azlandy MAT

Gambar : UNIMASimage

 

TYT istihar konvokesyen UNIMAS ke-19

on Saturday, 14 November 2015 18:12.

 

KOTA SAMARAHAN, 14 November 2015 :  Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Hj Abdul Taib Mahmud telah menyempurnakan pengisytiharaan Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-19 bertempat di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA), hari ini.

Dalam ucapan, Tun telah menggariskan empat kunci ke arah  perubahan berkesan iaitu komunikasi, kepimpinan melalui teladan, mendapatkan sokongan kakitangan dan  penambahbaikan berterusan.

Tun berkata visi, misi dan pelan strategik universiti perlu dikomunikasikan kepada semua anggota pelbagai peringkat dalam organisasi sama ada secara vertikal mahupun horizontal.

“ Setiap ahli perlu memahami dengan semua pelan yang disusun agar mendapat sokongan padu daripada semua peringkat organisasi. Kesatuan hati akan membenihkan rasa kecintaan yang tinggi kepada organisasi, dan saya percaya Unimas penuh dengan warga yang amat dedikasi dan komited dalam menjalankan tanggungjawab di universiti bertuah ini.”

Tun yang juga Canselor UNIMAS juga berkata inovasi dan proaktif adalah dua kunci kejayaan kerana kini ia umpama satu kemestian untuk membentuk dunia yang lebih dinamik.

Tun turut berbangga dengan kejayaan UNIMAS selama ini dan yakin perencanaan yang baik, pelaksanaan dan dokongan setiap ahli dalam sesebuah organisasi adalahnya penyumbangnya.

Katanya, UNIMAS berjaya pada hari ini kerana dokongan ahli akademiknya yang tidak terbelenggu dengan kerangka disiplin akademik konvensional sebaliknya  rajin meneroka batasan ilmu sehingga terkenal dalam disiplin keilmuan.

 “Kerana ilmu, usia muda kita pertaruhkan. Kerana ilmu kita berjuang bersengkang mata. Kerana ilmu juga, kita tidak pernah lupa siapa diri kita.

“Sebagai graduan berilmu, masanya sudah tiba untuk anda menabur jasa, mengenang budi. Gunakanlah ilmu di dada ke arah kebaikan dan kesejahteraan sejagat, dan janganlah berhenti membaca dan menambah ilmu, kerana membaca itu tunggak kejayaan jati setiap insan.”

Oleh demikian, Tun menasihati para graduan supaya terus mengejar dan mencari ilmu, berinovasi dan berakhlak mulia dalam menghadapi cabaran semasa yang datang dari dalam mahupun dari luar negara.

Artikel oleh : Sarena Haidir

Foto oleh: Azlandy MAT

Gambar : UNIMASimage

 

Ketua Menteri terima anugerah Ijazah Kehormat dari UNIMAS

on Saturday, 14 November 2015 18:07.

 

KOTA SAMARAHAN, 14 November 2015 : Ketua Menteri merangkap Pro Canselor UNIMAS, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem  telah dianugerahkan Ijazah Kehormat   Doktor Pemuliharaan Alam Sekitar pada sidang pertama Majlis Konvokesyen UNIMAS ke-19 hari ini.

Penyampaian anugerah berkenaan telah disampaikan oleh Canselor UNIMAS, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Hj Abdul Taib Mahmud.

Turut disampaikan ialah penyampaian Anugerah Pendidikan DiRaja iaitu untuk Pingat Jaya Cemerlang kepada dua pelajar iaitu Anis Afiqah bin Ab Aziz (Bumiputera) dan Shantini a/p Ravichandar (bukan Bumiputera), Anugerah Canselor kepada Loo Qiu Xi  dan  Anugerah Pro Canselor kepada Kok Woon Chee.

Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dato’ Dr Mohamad Kadim Suaidi dalam ucapan berkata, penganugerahan ijazah doktor kehormat itu sebagai mengiktiraf sumbangan gigih Ketua Menteri dalam memelihara dan memulihara alam sekitar negara ini, khususnya di negeri Sarawak agar dapat terus dinikmati oleh generasi masa depan.

Beliau berkata, peningkatan jumlah pelajar setiap tahun membuktikan bahawa UNIMAS menjadi UNIMAS akan terus meningkatkan pengambilan pelajar setiap tahun universiti pilihan pertama pelajar dari dalam dan luar negara untuk menyambung pengajian di peringkat prasiswazah dan siswazah.

“ Pada sesi pengambilan 2015/2016 seramai 3,892 pelajar baharu telah mendaftar. Ini menjadikan keseluruhan enrolmen 17,226 orang yang menjangkaui sasaran 15,000 pelajar menjelang tahun ini,” katanya.

Beliau menambah,daripada jumlah 17,226 orang, seramai 2,051 ialah pelajar siswazah.

Sementara itu, sidang pertama hari ini menyaksikan penyampaian ijazah kepada graduan dari Pusat Pengajian Siswazah seramai 347 orang dan graduan dari Fakulti Seni Gunaan dan kreatif seramai 485 orang.

Gambar : UNIMASimage

 

Persiapan terakhir untuk majlis konvokesyen

on Friday, 13 November 2015 19:32.

 

Kota Samarahan, 13 November 2015: Persiapan terakhir sebelum berlangsungnya Majlis Konvokesyen Ke-19 UNIMAS semakin hebat dilakukan oleh staf dan kakitangan petugas majlis konvokesyen kali ini.

Majlis konvokesyen kali ini melahirkan jumlah tertinggi graduan iaitu 3,919 yang akan menerima ijazah masing-masing dalam enam sidang majlis yang berlangsung bermula esok hingga Selasa depan bertempat di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA).

Pengisytiharan majlis konvokesyen ke-19 akan dilakukan pada sidang pertama oleh  Canselor UNIMAS, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Hj Abdul Taib Mahmud.

Turut diadakan pada sidang pertama esok hari ialah Majlis Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Pemuliharaan Alam Sekitar kepada  Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Haji Satem dan Anugerah Pelajaran DiRaja, Anugerah Canselor dan Anugerah Pro Canselor.

Sidang kedua akan disempurnakan oleh  Ketua Menteri merangkap Pro Canselor UNIMAS, Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Haji Satem, sidang ketiga sehingga kelima akan dirasmikan oleh  Timbalan Ketua Menteri merangkap Pro Canselor UNIMAS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu anak Numpang .

Manakala sidang terakhir (enam) akan disempurnakan oleh Canselor UNIMAS, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Hj Abdul Taib Mahmud.

Sepanjang minggu konvokesyen ini, UNIMAS juga menganjurkan Festival Konvokesyen 2015 (UNIMAS Confest 2015) yang menyediakan lebih dari tiga puluh aktiviti menarik untuk para pengunjung bermula 6 hingga 17 November 2015.

Antara aktiviti yang termuat di dalam UNIMAS Confest 2015 seperti citrawarna, khatamal al-quran, pesta buku konvo, Dota2 Championship & PC fair, pertandingan battle of the band, pertandingan senam seni, pertandingan puisi Samarahan (GEMPAR), pameran Kuching 2015, pertandingan boling dan banyak lagi.

Turut dibuka gerai-gerai makanan dan minuman, gerai menjual pakaian, tudung dan sebagainya serta gerai fotografi, bunga dan cenderahati. Orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan ConFest berkenaan.

Artikel oleh : Sarena Haidir
Foto oleh : Azlandy MAT

Gambar : UNIMASimage

 

Archive News

Universiti Malaysia Sarawak, 94300 Kota Samarahan, Sarawak, Malaysia Telephone: +60 82581000/+60 82581388, Fax: +60 82 665 088, Email: corporate@unimas.my
Copyright © 2015 Official Portal of Universiti Malaysia Sarawak. All Rights Reserved.
Last Modified on Thursday 28 January 2016.

Jom Masuk UMinistry of FinanceJPAMalaysian GovernmentMSCMyIDEAS1Malaysiakrstemyhealth
Sitemap
| Disclaimer | Policy | Manual | Portal Guidelines | Feedback |
FAQ
Best Viewed using Mozilla Firefox Version 3+,  Google Chrome or Internet Explorer Version 9+
This website does not support mobile version.
FOR TECHNICAL inquiries / comment AbOUT this website, contact :- webmaster(at)unimas.my

Visitors Counter : 3141299

This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

alexa