FSKPM anjur kolokium sains pembelajaran
KOTA SAMARAHAN, 4 Dis : Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (FSKPM) UNIMAS telah menjayakan penganjuran Kolokium Sains Pembelajaran Kali ke-4 bertempat di Auditorium Pusat Khidmat Maklumat Akademik (PKMA) UNIMAS selama dua hari 2 Disember 2014.
Kolokium tersebut yang merupakan sebahagian daripada kursus wajib buat pelajar kerja kursus Sarjana untuk subjek KML6054 Seminar dalam sains pembelajaran itu, telah disempurnakan penutupannya oleh Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dato’ Dr Mohamad Kadim Suaidi pagi tadi.
Naib Canselor semasa berucap meluahkan rasa bangga dengan semangat yang telah ditunjukkan oleh pelajar dan pensyarah fakulti tersebut yang berusaha sekian lama untuk memastikan kolokium itu berjalan dengan lancarnya.
Beliau berkata, usaha mereka itu membuktikan kesungguhan kumpulan pelajar untuk mendalami seterusnya mempraktikkan ilmu yang diperolehi bagi kebaikan sejagat.
“ Latihan seperti ini memudahkan kita memahami pembelajaran manusia secara lengkap, bermula dari bagaimana manusia itu mempelajari perkara yang formal dan tidak formal dalam kehidupan dan bagaimana proses pembelajaran itu boleh dipertingkatkan.
“ Saya percaya, dengan pembentangan kertas kerja yang meliputi banyak topik juga akan menyumbang peningkatan kualiti dan keberkesanan dalam sistem pendidikan negara,” katanya lagi.
Beliau berkata, pendidikan merupakan aset penting untuk mengubah nasib seseorang individu selain memberi kekuatan kepada tenaga kerja untuk menonjolkkan bakat dan pemikiran inovatif masing-masing.
Sementara itu, pada hari pertama kolokium itu, sebanyak 14 kertas kerja telah dibentangkan merangkumi pelbagai topik yang berkaitan dengan sains pembelajaran.
Manakala semalam, para hadirin yang hadir telah bersama-sama mendengar pembentangan khas dari Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Emeritus Datuk Dr Aminah Ayob dengan tajuk “The Challenges of Early Childhood Education in the 21st Century Learning”.
Artikel : Sarena Sarena Haidir || Foto : Bujang Mohamad