UNIMAS tandatangani MoU bersama UNTAR
KOTA SAMARAHAN, 11 Disember : Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universitas Tarumanegara (UNTAR) telah berlangsung pada hari ini.
Majlis menandatangani MoU tersebut telah dilakukan di antara Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dato’ Dr Mohamad Kadim Suaidi dengan Rektor UNTAR, Prof.Ir.Roesdiman Soegiarso.
MoU tersebut disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UNIMAS, Prof Dr Wan Hashim Wan Ibrahim dan Wakil Rektor Bidang Akademik dan Kemahasiswaan, Dr Eko Harry Susanto
Dalam ucapan ringkas, Prof.Dato’Dr Mohamad Kadim meluahkan rasa berbesar hati dengan keikhlasan UNTAR untuk bekerjasama dengan UNIMAS.
Beliau berkata, MoU tersebut adalah susulan dari lawatan rombongan UNIMAS ke UNTAR pada bulan November lepas yang sekaligus membincangkan beberapa perkara yang boleh menjalinkan kerjasama.
“Justeru, kita amat berbangga kerana UNTAR sebuah universiti yang komprehensif dan lama di Indonesia, bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan UNIMAS.
“Sesungguhnya kita di universiti ini sememangnya mengalu-alukan kerjasama dengan pihak universiti luar negara dari masa ke semasa.”
MoU yang ditandatangani itu membuktikan komitmen bersama dua universiti ini dalam beberapa bidang.
Antara bidang tersebut seperti program penukaran pelajar dan kakitangan, kerjasama dalam projek penyelidikan, aktiviti bersama organisasi, kerjasama konsultasi dan penukaran kepakaran dan intelektual.
Artikel : Sarena haidir || Foto : Azlandy M.A.T