• default style
  • blue style
  • green style
  • red style
  • orange style
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

Amanat Naib Canselor 2015

on 09 March 2015.

img1

img2

Kota Samarahan, 4 Februari : Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan sentiasa bertindak selaku komponen ekosistem masyarakat yang terpadu yang sentiasa memberi pengukuhan kepada masyarakat di persekitarannya, negara dan juga dunia global.

Begitulah antara pengisian amanat yang disampaikan oleh YBhg Prof Dato’ Dr Mohamad Kadim Suaidi, Naib Canselor UNIMAS kepada seluruh warga universiti pada hari ini.

Bertemakan “Memperkasakan Keunikan Jenama UNIMAS”, Majlis Amanat Naib Canselor 2015 ini diadakan di Arena Gemilang, DeTAR PUTRA dengan dihadiri oleh seluruh warga universiti termasuk wakil-wakil pemimpin pelajar.

Antara intipati amanat pada tahun ini adalah imbasan kejayaan serta pencapaian UNIMAS pada tahun 2014, kesinambungan Pelan Strategik UNIMAS serta usaha ke arah peningkatan visibiliti dan aksesibiliti program akademik universiti dan pemerkasaan keunikan jenama UNIMAS.

Rata-rata amanat yang disampaikan kali ini mendapat respon yang amat baik daripada seluruh warga kampus di samping mengukuhkan jalinan ukhwah sesama staf, sekaligus meningkatkan semangat dan motivasi untuk bersama-sama mencapai visi dan misi universiti.

Berikut adalah teks amanat yang disampaikan oleh YBhg Prof Dato’ Dr Mohamad Kadim Suaidi:

img3

Bismillahirahmanirahim

Assalamualaikum wbt, salam sejahtera, salam 1Malaysia dan salam UNIMASku sayang.

Terima kasih Pengerusi Majlis dan Jawatankuasa Pelaksana Majlis Amanat Naib Canselor 2015.

YBhg Datu Hatta bin Solhi,

Pengerusi, Lembaga Pengarah UNIMAS

YBhg Prof Mohd Fadzil Abdul Rahman,

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)

YBhg Prof Dr Kopli Bujang,

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)

YBhg Prof Dr Wan Hashim Wan Ibrahim,

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan)

YBhg Prof Madya Dr Mohd Ibrahim Sapawi Mohd Zain,

Penolong Naib Canselor, Keterlibatan Industri dan Komuniti

YBhg Tuan Hj Abu Bakar Ibrahim,

Pemangku Pendaftar

YBhg Tuan Hj Mazlan Kiflie,

Bendahari UNIMAS

YBhg­­ Puan Margaret Simeng,

Ketua Pustakawan

YBhg. Dekan-Dekan, Pengarah-Pengarah, Timbalan-Timbalan Dekan, Timbalan-Timbalan Pengarah, Para Tenaga Akademik dan Pengurusan, Para Pelaksana, rakan-rakan media, hadirin hadirat yang saya hormati sekalian.

AWAL KALAM PEMBUKA BICARA

 

Sayang Kumbang Mencari Makan

Terbang Seiring Di Tepi Kali

Selamat Datang Saya Ucapkan

Moga Di Iringi Restu Ilahi

Saudara-saudari yang saya hormati sekalian,

  1. Pertama sekali, segala puji-pujian bagi Allah S.W.T, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Alhamdullillah, bersyukur dengan limpah kurnia-Nya dapat kita bersama di Arena Gemilang yang serba indah ini untuk menyempurnakan Majlis Amanat Naib Canselor 2015. Semoga dengan kehadiran kita semua di sini akan terus merapatkan lagi ukhuwah dan kesatuan hati berkhidmat untuk Universiti yang dikasihi ini. Harapan saya, semoga kita semua akan terus berada dalam keadaan kesihatan rohani dan jasmani yang sempurna bagi meneruskan kesinambungan amanah dan tanggungjawab yang telah tercatat untuk kita semua.
  1. Sebelum memanjangkan bicara, ingin saya mengingatkan kembali saudara-saudari sekalian tentang kedukaan yang telah menimpa seluruh rakyat Malaysia baru-baru ini sehingga menjadikan kita lebih bersatu, dalam erti kata kesepakatan nasional. Tahun 2014 telah mencatatkan empat peristiwa hitam yang tidak pernah terduga. Kejadian malang yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH370 dan MH17, serta pesawat Air Asia Indonesia QZ8501 yang sangat menyayat hati kita.Bencana banjir luar biasa yang melibatkan beberapa buah negeri di Pantai Timur, Semenanjung Malaysia serta juga di Sabah dan Sarawak memperlihatkan seluruh warga Malaysia lantas bangun dan menyepakati perasaan sedih serta turut berkongsi semangat untuk mendepani kejadian secara rasional dan tabah.
  1. Berdepan dengan musibah sebegini, kita amat berbangga dengan kesediaan warga UNIMAS yang turut serta dalam meringankan beban mangsa banjir tersebut sehingga turut menghantar pasukan perubatan dan sukarelawan ke kawasan terjejas banjir di Kelantan dan Pahang, dan juga di Sarawak. Atas dasar keprihatinan ini juga, UNIMAS telah mewujudkan tabung UNIMASku Sayang dengan membuka akaun CIMB khas bagi mengutip derma bagi disalurkan kepada mangsa terjejas banjir. Saya bangga, warga UNIMAS bangun dan membantu, tanpa mengira perbezaan pandangan dan persepsi.
  1. Saya juga mengambil kesempatan ini mengajak seluruh warga UNIMAS untuk bertafakur seketika, dan untuk yang beragama Islam, bersedekah Al-Fatihah kepada mangsa yang terlibat atau terkorban dalam kejadian pesawat-pesawat malang MH370, MH17 dan QZ8501 serta dalam bencana banjir Negara.

Al-Fatihah.

 

img4 

img5 

 

Saudara-saudari sekalian,

  1. Memetik ucapan Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin Hj Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia di Majlis Perutusan Tahun Baharu 2015 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini, beliau menyarankan agar setiap Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) memperkasakan peranan masing-masing bagi menghadapi cabaran era globalisasi yang semakin mencabar. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) (PPPM (PT)) 2015-2025 yang akan dilancarkan pada suku pertama tahun ini merupakan satu kesinambungan usaha nasional untuk melahirkan Bakat Terpelajar dipacu Nilai (Learned Values-Driven Talent). Ini bagi menjamin pencapaian tranformasi negara ke arah ekonomi dipacu pengetahuan (knowledge-driven economy).       Pelan ini juga digarap bagi menghasilkan kelompok bakat yang inovatif dan kreatif selaras dengan agenda New Academia dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

    img6

  1. Penterjemahan pelan ini dalam konteks UNIMAS perlu dirancang secara bersama. Persoalan utama yang wajar kita semua ajukan adalah, bagaimanakah UNIMAS boleh menyumbang kepada usaha mentransformasikan Negara ke   arah ekonomi dipacu pengetahuan?, Apakah yang perlu kita lakukan bagi melahirkan Bakat Terpelajar dipacu Nilai di Universiti ini?, dan apakah perubahan-perubahan yang perlu kita lakukan bagi terus membawa UNIMAS ke puncak kegemilangan?. Persoalan-persoalan ini mungkin hanya boleh dijawab apabila keseluruhan sistem kerja UNIMAS berfungsi dengan lancar secara eko dan bukannya berpaksikan ego.
  1. Tahun 2014 yang didasari iltizam Menggalas Amanah Memacu Kegemilangan telah melakarkan banyak hasil positif kepada UNIMAS. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh warga Universiti yang telah berusaha merealisasikan amanah 2014 dengan penuh integriti sepanjang tahun lalu. Manakala untuk 2015 ini pula, kita akan meneruskan aspirasi untuk menjadikan UNIMAS sebagai sebuah institusi pilihan di rantau ini. Keunikan jenama UNIMAS perlu diperkasakan. Penjenamaan bukan hanya tertumpu kepada nama dan logo semata, namun keseluruhan ekosistem UNIMAS juga perlu saling melengkapi antara satu dengan yang lain bagi menyokong jenama UNIMAS ini. Justeru, pelbagai strategi dan modus operandi yang lebih bersifat berani dan menyeluruh perlu kita laksanakan untuk mencapai matlamat yang telah disasarkan. Apa yang dihasratkan adalah agar 2015 ini kita memberi fokus kepada usaha bersama Memperkasa Keunikan Jenama UNIMAS.

 

 IMBASAN KEJAYAAN DAN PENCAPAIAN

Saudara-saudari yang saya hormati,

  1. Tahun 2014 yang ditempuhi telah banyak menyediakan platform untuk kita terus mengorak langkah mendepani 2015 yang dijangkakan lebih mencabar dan kompleks.       Untuk itu, saya mengajak seluruh warga Universiti ini menelusuri kembali tempo kejayaan dan kecemerlangan yang telah kita capai sepanjang tahun 2014. Kebanyakan program Fasa 2 Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang telah dilaksanakan bermatlamat mengukuhkan dan memperkasakan beberapa elemen penting bagi menyediakan UNIMAS ke arah kecemerlangan.
  1. img7
    Tahun 2014 menyaksikan UNIMAS dianugerahkan status Universiti Autonomi oleh KPM, dan UNIMAS merupakan universiti ke-lapan yang menerima status ini. Penganugerahan ini telah disempurnakan oleh
    Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia pada 16 Januari 2015 semasa perutusan Tahun Baharu KPM di Putrajaya. Dengan itu, UNIMAS mempunyai kuasa tertentu dalam pengurusan pentadbiran universiti yang melibatkan empat aspek penurunan kuasa iaitu:
    • Sistem Governan Institusi,
    • Pengurusan Kewangan,
    • Pengurusan Sumber Manusia , dan
    • Governan Akademik.

Penganugerahan ini turut memberi fleksibiliti kepada Universiti untuk merangka skim-skim perjawatan baharu. UNIMAS kini mempunyai opsyen menggubal prosedur operasi standard (SOP) kewangan bagi memastikan kecekapan dan keberkesanan proses yang menjurus kepada peningkatan produktiviti. Kita harus mengambil peluang ini untuk memperteguhkan kedudukan Universiti ke arah yang lebih produktif dan cemerlang.

    img8
  1. Tahun 2014 turut mencatatkan kejayaan UNIMAS dianugerahkan SETARA Tier 5 Cemerlang oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam SETARA’13. Ini sebuah pengiktirafan yang telah sekian lama dihajatkan. Saya ucapkan syabas dan terima kasih kepada seluruh Jawatankuasa Pelaksana yang telah bekerja keras merealisasikan pengiktirafan ini dan membuktikan bahawa program-program prasiswazah yang ditawarkan di UNIMAS adalah berkualiti tinggi.
  1. Selain itu, Universiti juga telah berjaya menerima kelulusan dari Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), KPM ke atas Semakan Kurikulum 24 Program Prasiswazah yang bersifat kontemporari dan memenuhi kehendak pemegang taruh pada 23 Oktober 2014. Kurikulum baharu ini akan mula diguna pakai pada sesi akademik 2015/2016. Ini merupakan satu pencapaian yang harus dibanggakan.
  1. Lantaran itu, bagi mengukuhkan lagi kurikulum yang sedia ada serta yang bakal ditawarkan, pendekatan Outcome Based Education (OBE) dalam setiap aspek program akademik harus dimanifestasi. Ini bagi menjadikan program akademik di UNIMAS lebih berasaskan hasil. Fokus kita seterusnya pada 2015 adalah memperkasakan elemen ini dalam setiap aspek program akademik sejajar dengan kehendak Pelan Pembangunan Dan Pengurusan Akademik (PPPA) UNIMAS yang telah dilancarkan pada tahun lalu. Oleh itu, pada 2015 kita akan mempergiatkan aktiviti kesedaran dan keterlibatan tentang OBE dan amalan-amalan terbaik lain berkaitan pelaksanaan dan pemantauan program akademik yang berkesan.

Saudara-saudari sekalian,

  1. Dari aspek pengurusan kewangan 2014, Jabatan Audit Negara (JAN) telah melaksanakan pengauditan prestasi pengurusan kewangan di UNIMAS bagi menilai sembilan (9) elemen pengurusan kewangan. Saya amat berbangga apabila UNIMAS berjaya berada di kedudukan keenam dalam kalangan IPTA bagi Indeks Akauntabiliti yang diumumkan dalam tahun 2014. Usaha secara kolektif semua pihak dan kepimpinan Pejabat Bendahari diucapkan jutaan terima kasih. Tahun ini, kempen Ke Arah Kecermelangan Pengurusan Kewangan akan dilaksanakan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan serta menjamin akauntabiliti di kalangan pegawai-pegawai UNIMAS pada tahap yang paling tinggi. Objektif utama adalah agar UNIMAS boleh memperolehi Pengurusan Kewangan yang mantap dan ke arah memperolehi empat (4) Bintang apabila Auditan Indeks Akauntabiliti dijalankan oleh Jabatan Audit Negara pada tahun 2017.
  1. Prestasi UNIMAS juga amat baik dalam aspek penjanaan pendapatan.   Salah satu matlamat Pelan Strategik UNIMAS ialah mencapai 25% penjanaan pendapatan berbanding perbelanjaan operasi Universiti.   Pada tahun 2014, kita telah mencapai 19.21%. Saya ingin mengiktiraf semua pihak yang telah menyumbang kepada peratusan ini. Kejayaan ini sebenarnya dicapai menerusi langkah penjimatan serta perbelanjaan yang terkawal dan berhemah sehingga membolehkan Universiti menggunakan peruntukan tahun semasa tanpa bergantung secara langsung kepada wang rizab dalam operasi pengurusannya.
  1. Menerusi Amanat 2014, saya telah mengumumkan pembentukan Akaun Enterprise yang akan memberi keluwesan kepada ahli akademik untuk mengurus kepakaran masing-masing di peringkat Pusat Tanggungjawab (PTj). Di sini, saya mengambil kesempatan memaklumkan bahawa proses pemerkasaan Akaun Enterprise dengan kerjasama UNIMAS Holdings Sdn Bhd telah berjaya dilaksanakan sepenuhnya dan telah mula beroperasi di semua Fakulti dan Pusat. Ini merupakan satu pendekatan inovatif dan terancang dalam pengurusan kewangan yang mampu menyumbang kepada penjanaan pendapatan UNIMAS. Ini adalah kerana, setiap PTj menerusi Lembaga Fakulti diberi fleksibiliti merangka pelan dan aktiviti secara kreatif serta bermanfaat melalui pendekatan profit-sharing. Oleh yang demikian, usaha penambahbaikan berterusan harus dilakukan untuk mengukuhkan kelestarian kewangan di UNIMAS setiap kali aktiviti serta program dilaksanakan.
  1. Organisasi yang unggul seharusnya memiliki individu terpilih dan sistem pentadbiran yang berkesan. Begitu juga dengan UNIMAS apabila dalam tahun 2014, Universiti ini turut menempa sejarah menerusi pelantikan Tuan Yang Terutama , Yang DiPertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri (Dr) Haji Abdul Taib Mahmud sebagai Canselor UNIMAS Ketiga dan Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan Haji Satem, Ketua Menteri Sarawak sebagai       Pro-Canselor UNIMAS. Menerusi kepimpinan kedua-dua tokoh ulung Sarawak ini, kita yakin UNIMAS akan terus menuju ke mercu kejayaan, selain dilihat sebagai satu lonjakan kecemerlangan pendidikan di Bumi Kenyalang.
  1. Tahun 2014 turut juga menyaksikan semua fakulti berada di satu kampus, apabila Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) serta Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IKPK) mula beroperasi di bangunan baharu di Kota Samarahan. Sementara untuk memenuhi keperluan kebajikan pelajar, Kolej Kediaman Dahlia telah mula dibuka. Kolej ini boleh menampung kapasiti pelajar seramai 1880 orang; sebahagiannya diurus oleh UNIMAS Holdings Sdn Bhd, yang mengendalikan perkhidmatan hostel premier di kampus, suatu pembaharuan yang peka kepada kehendak semasa.

 

PERANCANGAN STRATEGIK UNIMAS

Saudara-saudari yang dihormati,

  1. Menerusi amanat 2013 juga, saya telah melafazkan komitmen untuk meneruskan agenda pelaksanaan Pelan Strategik UNIMAS. Kita telah melalui dua kitaran pelaksanaan iaitu 2011-2012 dan 2013-2014. Skor kad Fakulti juga berjaya dikeluarkan dengan memaparkan pencapaian key performance indexs (KPI) Fakulti masing-masing. Ekoran ini, UNIMAS akan terus komited dan konsisten dengan perancangan strategik yang mengandungi penggubalan pelan tindakan Fakulti bagi kitaran 2015-2016. Dengan pengalaman sedia ada, saya ingin menegaskan agar komitmen Fakulti kali ini wajar lebih berimpak tinggi dan inklusif termasuklah penglibatan semua warganya. Fakulti harus mengaktifkan struktur dan jawatankuasa pemantau, dan pelaporan harus dibuat pada setiap mesyuarat Fakulti.
  1. Seperti yang telah dinyatakan di awal tadi, pada suku tahun 2015, KPM akan melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi), (PPPM (PT)). Saya yakin dalam hal ini, UNIMAS sudah memiliki asas yang kukuh daripada segi sistem, proses perancangan dan pelaksanaan strategi.       Pelancaran pelan ini nanti akan melibatkan adaptasi terhadap beberapa elemen yang baharu, di mana ia menuntut sikap inovatif, keterbukaan, fleksibel dan kolaborasi yang jitu untuk membolehkan UNIMAS melahirkan bakat dan nilai yang seiring dengan agenda Negara. Universiti akan mengambil pendekatan proaktif dan strategik dalam menyusun dan melaksana strategi-strategi yang berkesan.
  1. Pelbagai inisiatif pengukuhan dan pemerkasaan telah dilaksanakan pada 2014 sejajar dengan konsep Fasa 2 Roadmap UNIMAS yang bertemakan Pengukuhan dan Pemerkasaan. Penstrukturan semula turut melibatkan Pusat Strategik dan Pengurusan Kualiti (SQC) yang akan memastikan pelaksanaan PPPM (PT) dirancang dan dilaksanakan dengan lebih berkesan di peringkat UNIMAS melalui empat fungsi iaitu;     Perancangan Strategi, Pengurusan Kualiti, Pengurusan Maklumat Strategik dan Projek Strategik Universiti.

 

MENINGKATKAN VISIBILITI DAN AKSESIBILITI PROGRAM AKADEMIK

 Saudara-saudari sekalian,

    img9
  1. Dalam agenda meningkatkan visibiliti dan aksesibiliti bagi memperkasa jenama UNIMAS, penstrukturan semula Bahagian Pembangunan Dan Pengurusan Akademik (BPPA) telah dilakukan. Pemerkasaan bahagian ini bertujuan memastikan program akademik UNIMAS terus relevan, dinamik, berdaya saing dan memenuhi aspirasi negara melahirkan modal insan berbakat kelas pertama. Kurikulum UNIMAS perlu mencapai standard yang tinggi, setanding dengan kurikulum program lain di dalam dan luar Negara, memenuhi keperluan industri, bersifat kontemporari serta mengandungi elemen Higher Order Thinking and Creative Skills (HOTaCS). Selain itu, UNIMAS juga akan turut memberi penekanan kepada ciri-ciri keusahawan dan kemahiran insaniah, sejajar dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Negara bagi melahirkan golongan pelajar yang kreatif dan luhur. Ini mustahak kerana ia akan memacu keunikan bidang ilmu yang ditawarkan di Universiti, dan seterusnya membina visibililti mantap untuk jenama UNIMAS.
  1. Baru-baru ini, UNIMAS telah menandatangani perjanjian usahasama dengan sebuah syarikat swasta, International Malaysia Education Centre (IMEC), bagi menawarkan empat program pascasiswazah mod kerja kursus di Lembah Klang. Menerusi perjanjian usahasama ini, UNIMAS kini memiliki sebuah Pusat Pembelajaran di Lembah Klang. Dengan perkongsian bijak (smart partnership) sebegini, UNIMAS akan lebih dikenali dan sasaran peningkatan enrolmen pelajar antarabangsa akan lebih cepat dicapai.       Sejajar dengan strategi ke arah penambahbaikan penarafan antarabangsa, strategi ini dilihat mampu memberi impak tinggi kepada enrolmen pelajar serta cost-effective.
  1. Untuk meningkatkan enrolmen pelajar prasiswazah antarabangsa pula, UNIMAS sedang dalam perancangan untuk bekerjasama dengan ERICAN College Kuala Lumpur. Pelajar diploma lepasan kolej ini kebanyakannya adalah pelajar antarabangsa akan menjadi feeder kepada program-program yang telah dikenalpasti. Proses pemilihan pelajar akan dilakukan oleh Unit Kawal Selia yang telah ditubuhkan.
  1. Tahun 2014 juga telah membuktikan kejaguhan UNIMAS sekali lagi dalam menyaingi IPT lain mempelopori pembaharuan pembelajaran dan pengajaran berasaskan ICT. UNIMAS adalah antara empat IPTA di Malaysia yang terlibat dalam projek rintis Massive Open Online Courses (MOOC) melalui pembangunan kursus ICT Competency. Kursus ini bersifat open access menerusi platform Openlearning.com. UNIMAS juga telah menyertai pembelajaran di alam maya menerusi penubuhanOpenCourseWare@UNIMAS atau ringkasnya OCW@UNIMAS.  Akses kepada 20 kursus dari lapan (8) Fakulti dan satu (1) Pusat Pengajian adalah terbuka kepada dunia menerusi Open Education Consortium sejak November 2014. Tahniah diucapkan kepada kumpulan MOOC UNIMAS yang sangat komited dalam menjayakan inisiatif ini.
    img10
  1. Dari aspek aksesibiliti kepada peluang pendidikan tinggi, UNIMAS sebagai peneraju IPT di Sarawak amat peka terhadap isu golongan terpinggir. Untuk dua tahun berturut-turut, UNIMAS telah mengamalkan dasar Mod Kemasukan Isi Rumah 40% Terendah (Bottom 40% Household).   Dasar baharu yang diperkenalkan ini bertujuan memastikan calon pelajar yang berkelayakan daripada keluarga yang berpendapatan rendah dari pelbagai lokasi (bandar dan luar bandar) ditawarkan tempat untuk belajar di UNIMAS. Selain itu, kumpulan yang kurang mendapat manfaat pembangunan juga turut diberi sokongan. Peluang ini akan mengupayakan mereka untuk meningkatkan kualiti hidup.

  2. Dalam usaha meningkatkan jumlah pelajar dalam jurusan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), UNIMAS telah mengambil pendekatan proaktif bekerjasama dengan Jabatan Ketua Menteri dan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS). Usaha ini dilihat mampu mengupayakan agenda Negara dalam pemupukan bakat dipacu nilai, terutamanya untuk memberi peluang seluasnya untuk mereka yang layak.

 

 

 KERANCAKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DALAM SISTEM UNIVERSITI

 Saudara-saudari yang dihormati,

  1. img11Sejak ditubuhkan, UNIMAS begitu sinonim dengan pengupayaan teknologi maklumat. Tahun 2014 menyaksikan Universiti berjaya mengintegrasikan tiga sistem pembelajaran yang meliputi Sistem Pengurusan Ruang Kuliah, e-Course Registration dan Pelan Pembelajaran bagi melancarkan gerak kerja sesi akademik pelajar. Selain itu, Pusat Khidmat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (CICTS) juga telah berjaya menyiapkan projek Sistem Pemantauan dan Pelaporan Pelajar Latihan Industri yang membolehkan pensyarah memantau aktiviti dan laporan pelajar secara online pada bila-bila masa. Ini membuktikan keupayaan UNIMAS dalam penyediaan capaian dan aplikasi teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT) dalam sistem pentadbiran dan penyampaian perkhidmatannya.
  1. Sejajar dengan strategi UNIMAS ke arah paperless organisation, pembinaan fungsi pemantauan pencapaian hasil pembelajaran kursus (course learning outcome - CLO) melalui sistem Curriculum, Learning, Assessment Support System (e-CLASS) telah berjaya dilaksanakan. Sistem ini mampu mendokumentasi secara sistematik pencapaian pelajar dalam program akademik yang diikuti. Pengendalian mesyuarat utama UNIMAS dengan penggunaan e-Mesyuarat juga turut dilakukan secara berperingkat. Tahun ini, saya menyeru setiap PTj untuk mengambil inisiatif yang sama bagi meluweskan pentadbiran dan perjalanan mesyuarat masing-masing.

    img12

  1. Inovasi teknologi juga telah diperluaskan kepada peranti mudahalih. Kumpulan kerja di CICTS berjaya membina satu aplikasi mobil yang dinamakan UNIMAS On-the-Go untuk tujuan hebahan maklumat dan berita terkini Universiti. Aplikasi ini juga telah berjaya merangkul tempat ketiga Anugerah Inovasi ICT KPM.       Tahun ini, fokus kerja adalah untuk menaiktaraf perkakasan sistem rangkaian dan peranti keselamatan bagi menggantikan perkakasan yang telah usang. Kita juga mendoakan agar usaha CICTS memperluas skop MS ISO 27001:2013 ke skop keselamatan maklumat Sistem Maklumat Pelajar akan dicapai dengan jayanya tahun ini.

 

PEMERKASAAN PENYELIDIKAN DAN INOVASI

 

Saudara-saudari sekalian,

  1. Setelah berjaya mencapai penarafan 5 Bintang untuk SETARA, sasaran UNIMAS seterusnya ialah pencapaian cemerlang penarafan MyRA. Usaha ini memerlukan sokongan dan dokongan kolektif setiap warga akademik untuk memahami indikator utama MyRA. Peningkatan penarafan MyRA bukan lagi satu opsyen tetapi satu kewajiban bagi semua kerana pencapaian penarafan ini adalah bermatlamat mengukuhkan jenama UNIMAS di persada nasional.
  1. Agenda penyelidikan UNIMAS harus lebih berfokus dan berimpak tinggi, dan mesti segera diusahakan. Justeru, UNIMAS akan menjenamakan semula beberapa Institut Penyelidikan sedia ada agar lebih berdaya saing dan relevan. Institut-institut Penyelidikan ini juga harus mengambil pendekatan operasi secara antara-disiplin dan pelbagai-disiplin agar impak tinggi disiplin ilmu yang direncanakan mampu diterjemahkan. Di sini juga saya mengumumkan bahawa UNIMAS telah mengenal pasti beberapa produk penyelidikan yang bakal dibangunkan di bawah program inkubator di Pusat Penyelidikan Mukah dalam masa yang terdekat ini sebagai kofaktor mula ke arah program penyelidikan berimpak tinggi. Antara projek yang telah dikenalpasti adalah:
    • Sago (proses hiliran)
    • Akuakultur
    • Herba (Tumbuhan perubatan dan minyak pati)
    • Seni dan produk etnik
    • Tenaga diperbaharui
    • Kajian tanah gambut, dan
    • Pertanian dan perhutanan
  1. Sebagai usaha berterusan meningkatkan profil dan pencapaian UNIMAS dalam arena penyelidikan, pembangunan dan inovasi (RDI),       Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) terus memperkasakan program dan pembudayaan penyelidikan di Universiti, sejajar dengan visi Universiti sebagai pilihan bertaraf antarabangsa dengan kecemerlangan penyelidikan. Antara program tersebut ialah penganjuran Research Clinic, sistem permohonan dan pemantauan geran dalaman atas talian, pemantapan sistem maklumat penyelidikan bersepadu (iRIS), penganjuran bengkel peningkatan penerbitan dan sitasi serta penulisan proposal berkualiti dan penganjuran EXPO R&D 2015. Saya juga sentiasa menyokong usaha RIMC untuk meningkatkan pendaftaran harta intelek bagi projek berpotensi dan bergerak       ke arah pengkomersilan, sekurang-kurangnya dua produk dikomersil dalam tahun 2015 ini.
  2. Saudara-saudari yang dihormati,

  3. Pada tahun 2014, antara geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang telah diterima oleh UNIMAS untuk memangkin pertumbuhan program penyelidikan Universiti ialah Geran Penyelidikan KPM yang terdiri daripada Geran Penyelidikan FRGS berjumlah RM 3.3 Juta , Geran Penyelidikan RAGS berjumlah RM 465 ribu, Geran Penyelidikan RACE berjumlah RM 842 ribu, Geran Penyelidikan PRGS berjumlah RM274 ribu, dan Geran Sanjungan Penyelidikan-KPM berjumlah RM 118 ribu. Sementara itu, Universiti turut berbangga apabila dua penyelidik UNIMAS yang outstanding dalam geran penyelidikan FRGS mereka sebelum ini telah menerima Anugerah Penyelidikan Khas FRGS berjumlah RM400,000.00. Tahniah diucapkan.

  4. UNIMAS sentiasa berusaha memantapkan budaya penyelidikan dalam kalangan warganya. Oleh itu, sebanyak 60 projek telah ditawarkan pembiayaan di bawah lima (5) skim geran UNIMAS berjumlah hampir RM 1.8 juta yang merangkumi dua (2) projek di bawah tajaan Dana Principal Investigator, 28 projek penyelidikan Small Grant Scheme (SGS), satu (1) projek peruntukan geran Top Down, 25 projek penyelidikan Dana Pelajar PhD (DPP), dan tiga (3) projek Dana Post Doctoral serta satu sumbangan dana penyelidikan dari UHSB.

 

  1. UNIMAS turut merekodkan kejayaan memperoleh pelbagai geran daripada agensi kerajaan, swasta mahupun luar negara. Keseluruhan geran ini bernilai hampir RM 3 juta , dan daripada jumlah tersebut, RM1.7 juta adalah untuk sembilan (9) projek yang diterima daripada geran lain-lain agensi kerajaan seperti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia (LPPKN), Pustaka Negeri Sarawak, Sarawak Development Institute (SDI), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI)dan KPM yang menawarkan projek penyelidikan di bawah program Knowledge Transfer Program, Program Pengajian Sepanjang Hayat (PSH) dan Institut Penyelidikan Pengajian Tinggi Negara (IPPTN). UNIMAS turut menerima satu geran masing-masing daripada Sarawak Energy Berhad berjumlah hampir RM1.2 juta dan Asia-Pacific Network Information Centre (APNIC) bernilai hampir RM74 ribu.Apa yang dapat diperhatikan di sini, corak perolehan dana pembiayaan R&D Universiti masih lagi bersifat konvensional. Sayugia, kita harus lebih berani dan yakin untuk mendapatkan pembiayaan dari agensi bertaraf antarabangsa dan bukan lazim selain cabaran penubuhan kursi-kursi penyelidikan baharu bagi menyemarakkan budaya penyelidikan, meningkatkan jalinan kerjasama antara IPT dan industri. UNIMAS juga menyediakan insentif penerbitan bagi menggalakkan warga akademik menerbitkan artikel dalam jurnal berimpak tinggi.

  2. Setiap program penyelidikan akan dianggap berjaya menerusi perkongsian penemuan dan penghasilan produk disusuli dengan penerbitan.  Sepanjang tahun 2014, warga akademik UNIMAS telah berjaya menerbitkan sebanyak 197 naskah makalah dalam jurnal berimpak. Saya berharap agar usaha penerbitan ilmu dilipatgandakan dan dilakukan secara proaktif oleh setiap warga akademik UNIMAS, agar sasaran menjulang jenama Universiti sebagai sebuah universiti berinovasi tinggi menjadi kenyataan suatu hari nanti. Pada hari ini, saya umumkan kemudahan untuk staf akademik Gred 52 ke-bawah, untuk pembiayaan menghadiri persidangan dalam negara. Untuk layak, hasil pembentangan di persidangan perlu diterbitkan dalam jurnal berindeks dalam tempoh 12 bulan dari tarikh menghadiri persidangan. Saya berharap kaedah ini akan membangkitkan semangat pensyarah-pensyarah muda untuk meningkatkan hasil penerbitan Universiti.

  3. img15Pada tahun lalu juga, UNIMAS telah cemerlang melalui penyertaan dalam tiga ekspo penyelidikan di mana 27 anugerah telah dimenangi secara keseluruhan. Pada pameran peringkat kebangsaan di Malaysia Technology Expo (MTE) 2014 yang berlangsung di Kuala Lumpur, UNIMAS berjaya memperoleh 11 anugerah. Manakala di peringkat antarabangsa di British Invention Show (BIS) 2014, di London, England, penyelidik UNIMAS berjaya membawa pulang 11 Anugerah. Seterusnya di Seoul International Invention Fair (SIIF) 2014, UNIMAS telah berjaya memenangi lima anugerah. Justeru, untuk tahun 2015, saya berharap agar lebih banyak penyertaan, anugerah dan pengiktirafan berprestij dalam bidang penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan (RDC) dapat diusahakan.

    MELAHIRKAN GRADUAN BERDAYA SAING DAN RELEVAN

    Saudara-saudari sekalian,

  4. Graduan adalah produk utama UNIMAS. Kelansungan Universiti ini adalah bersandarkan kepada keupayaan melahirkan modal insan berbakat dan berdaya saing tinggi setiap masa. Justeru, Universiti amat prihatin akan keperluan membina perwatakan graduan yang dihormati dan disegani demi membangunkan graduan cemerlang yang akan menyumbang kepada pembangunan nusa dan bangsa pada hari muka. Atas kesedaran ini, mandat telah diberikan kepada Pusat Pemajuan Pelajar (PPP) dan Pusat Khidmat Pelajar (PKP) untuk menumpukan kepada aspek pembangunan sahsiah pelajar dan melahirkan graduan yang berketrampilan, berilmu pengetahuan dan berdaya saing dalam pasaran kerja di samping mempunyai sifat holistik kepemimpinan yang serba boleh serta agen perubahan dan transformasi negara. Hal ini mampu dicapai melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti serta penawaran modul kemahiran insaniah, kerohanian dan juga pembudayaan keusahawanan dalam kalangan para pelajar.

 

MELAHIRKAN GRADUAN BERDAYA SAING DAN RELEVAN

 

Saudara-saudari sekalian,

  1. Seiring dengan aspirasi Negara menjadikan keusahawanan sebagai atribut graduan masakini, maka saya mengumumkan Unit Keusahawanan di PPP dinaiktaraf kepada Pusat Keusahawanan. Pusat ini akan memainkan peranan membentuk graduan yang cenderung dan arif dalam bidang keusahawanan. Sehingga January 2015, jumlah pelajar UNIMAS adalah seramai 16,827 dimana jumlah pelajar antarabangsa seramai 582 orang daripada 49 buah negara. Penglibatan pelajar dalam Program mobiliti telah mencatatkan peningkatan yang menggalakkan. Syabas saya ucapkan.

KETERLIBATAN INDUSTRI DAN KOMUNITI

Saudara-saudari yang dihormati,

  1. Malaysia kini sedang berada di fasa terakhir Wawasan 2020. Kerajaan masih mempunyai tempoh lima tahun lagi untuk mencapai aspirasi sebuah Negara maju. Agenda pembentukan Negara maju ini turut diperkukuhkan menerusi pelaksanaan National Blue Ocean Strategy (NBOS) di peringkat kebangsaan dengan mekanisme pelaksanaan membekalkan suatu pendekatan yang kreatif dan sistematik dalam mewujudkan nilai tinggi dengan kos rendah. Seiringan dengan ini, UNIMAS sebagai sebuah institusi yang mendukung kecemerlangan akademik, sosial dan ekonomi mempunyai tanggungjawab yang besar untuk turut mendukung cita-cita mentransformasikan Negara ke arah Negara maju dan berpengetahuan.
  1. Lantaran itu, UNIMAS mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Pejabat Penolong Naib Canselor (Keterlibatan Industri dan Komuniti) (AVC ICE) bagi meneraju program keterlibatan industri dan komuniti. Pejabat ini disokong oleh dua Bahagian iaitu Bahagian Keterlibatan Industri dan Bahagian Transformasi Komuniti. AVC ICE akan berfungsi berdasarkan model Quadruple helix (Government-Academia-Industry-Community) yang giat diwar-warkan oleh KPM.
  1. Strategi utama Pejabat ini pada 2015 adalah untuk terlibat aktif dalam agenda Industry Centre of Excellence (ICOE) yang diperkenalkan oleh KPM sejak 2013. ICOE merupakan sebuah program di bawah inisiatif Program Transformasi Ekonomi (PTE) dengan objektif membentuk peluang pekerjaan baharu dan perkongsian teknologi antara IPT dan industri, di samping membentuk keperluan modal insan Negara dan perkongsian ilmu dan teknologi (Knowledge and Technology Sharing). Setiap IPT perlu mengenal pasti rakan industri masing-masing serta mengaktifkan kolaborasi yang bersifat menang-menang. UNIMAS akan memainkan peranan aktif dalam menyahut cabaran ini. Agenda ini turut juga memerlukan usaha pengenalpastian dan pemusatan kepakaran yang menyeluruh di UNIMAS.
  1. Oleh yang demikian, seluruh staf akademik adalah diseru ke hadapan untuk melibatkan diri secara aktif dan berkesan dalam membentuk projek-projek transformasi yang berimpak tinggi dan kos efektif, di mana projek-projek ini mestilah bersifat rapid execution and replication (3-6 bulan), di samping penglibatan bersama masyarakat dalam membantu ke arah perubahan sosio-ekonomi komuniti setempat.
  1. Umum sedia maklum, bahawa Universiti kini berdepan dengan keperluan menjana pendapatan sendiri. Ekosistem pengajian tinggi Negara termasuk UNIMAS tidak akan mencapai kelestarian dengan hanya bergantung kepada sumbangan subsidi kerajaan semata. Justeru, strategi yang mampan sedang digubal untuk melibatkan industri-industri berpotensi tempatan dalam penyaluran endowmen, wakaf atau perkongsian pintar demi manfaat bersama. Sebagai contoh, beberapa makmal industri sedang dan akan dibangunkan di kampus kita. Keberadaan pihak industri memberi peluang kepada Universiti untuk mengorak langkah memacu penerokaan ilmu yang kompetitif dan signifikan.

PEMBANGUNAN DAN PENGURUSAN SUMBER MANUSIA

Saudara-saudari sekalian,

    img16
  1. Usaha untuk memperkasa jenama UNIMAS tidak lengkap sekiranya pembangunan dan pengurusan bakat tidak diberikan fokus oleh pihak Universiti. Sejarah membuktikan sesebuah organisasi yang berjaya adalah ditunjangi oleh warganya yang memahami dan mengamalkan nilai dan integriti yang tinggi. Lantaran itu, tahun 2015 kita akan melancarkan Buku Integriti UNIMAS bagi terus menerap dan memperkukuhkan pelaksanaan lapan (8) Pelan Tindakan Integriti yang digubal berdasarkan lima (5) Nilai Teras UNIMAS iaitu keserakanan, berinovasi, tabah, ikhlas dan berintegriti. Dengan pelancaran buku berkenaan, saya yakin warga UNIMAS akan lebih bersemangat dan bersedia untuk mendukung agenda pembangunan Universiti dan Negara dengan lebih berprinsip. Kita mahu warga UNIMAS dikenali dengan jenama “UNIMAS Warga Berintegiriti”, dan ini tidak mustahil untuk dicapai.       Agenda penting ini bakal diterajui oleh Bahagian Dasar dan Integriti.  
  1. Saya juga pernah menyebut tentang pengurusan bakat menerusi Amanat 2014. Setiap warga UNIMAS adalah aset Universiti dan memainkan peranan yang sangat mustahak dalam kita mencapai setiap matlamat yang digariskan. Pembangunan Portal UNIMAS Experts sedang diusahakan, di mana Portal ini mengandungi profail staf UNIMAS yang boleh diakses untuk mengetahui kepakaran-kepakaran tersedia wujud di UNIMAS. UNIMAS Experts dibangunkan menerusi dua pangkalan data utama iaitu HCM (sumber manusia) dan iRIS (penyelidikan dan perkhidmatan).       Oleh yang demikian, saya menyeru seluruh warga UNIMAS untuk sentiasa mengemas kini rekod pencapaian masing-masing dalam kedua-dua pangkalan data ini agar objektif penjenamaan dan pemasaran Universiti kepada industri dan komuniti mampu dijelmakan.
  1. Sejajar dengan keperluan Majlis Akreditasi Kejuruteraan (EAC) yang telah meletakkan penanda aras akreditasi program kejuruteraan yang ditawarkan di IPT Malaysia, iaitu jumlah minimum tenaga pengajar yang lulus ujian profesional dikendalikan oleh Institut Jurutera Malaysia (IJM), maka UNIMAS telah memperkenalkan satu Skim Sangkutan Industri. Pelaksanaan skim ini dijangka berupaya menambah bilangan Jurutera Profesional dalam kalangan pensyarah di Fakulti Kejuruteraan (FE) dan seterusnya memudahkan proses mendapat akreditasi daripada pihak EAC.

Saudara-saudari yang dihormati,

    img17
  1. Urusan kenaikan pangkat secara fleksi bagi jawatan Pengurusan dan Profesional (P&P) akan turut dilaksanakan di UNIMAS selain daripada pelaksanaan kenaikan pangkat secara time-based berasaskan kecemerlangan (TBK 13 Tahun).       Oleh itu, sebanyak 26 skim perkhidmatan yang melibatkan pelbagai gred telah diperakukan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF). Urusan ini bakal melibatkan sebanyak 151 gred jawatan bagi kumpulan P&P dan 89 gred jawatan bagi kumpulan Pelaksana.
  1. Pelaksanaan kedua-dua kaedah kenaikan pangkat berkenaan akan memudahkan lagi usaha Kerajaan dalam mewujudkan organisasi kejat (Lean Organisation). Ini memastikan universiti dapat beroperasi dalam kapasiti yang lebih berdaya saing dan efisien dari segi struktur organisasi dan proses kerja perkhidmatan. Justeru, semua warga adalah diseru untuk lebih produktif dan kreatif dalam mengurus sumber manusia di PTj masing-masing. Tingkatkan jati diri, gandakan usaha dengan lebih ikhlas, berkongsilah nilai Universiti ini dan ayuh majukan organisasi yang telah banyak berjasa kepada kita. Setakat ini , seramai 54.56% staf akademik memiliki kelayakan PhD, manakala       seramai 14.37% mempunyai kelayakan profesional.
    img18

 

KELESTARIAN KEWANGAN

Saudara-saudari sekalian,

  1. Perancangan pelaksanaan sesuatu program dan sistem haruslah disusuli dengan strategi tadbir urus kewangan yang ekonomik, produktif dan kreatif. Justeru, strategi pengurusan kewangan secara lestari memerlukan dokongan segenap lapisan warga kerja untuk memahami dan mengakuinya. Ini melibatkan setiap tindakan dan keputusan yang dibuat dalam pengurusan kewangan PTj masing-masing. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan berisiko dalam tahun 2015, maka UNIMAS perlu berada dalam landasan yang tetap untuk setiap tindakan yang diambil melibatkan sumber kewangan Universiti. Ini kerana perbelanjaan dan pelaburan dana bukan sekadar memenuhi ukuran projek dan petunjuk prestasi semata, malah lebih daripada itu ia harus melibatkan persediaan rizab yang teguh kepada Universiti untuk terus membangun dan berinovasi secara lebih terdorong.
    img19
  1. Lantaran itu, setiap warga UNIMAS hendaklah memastikan tiada pembaziran dalam perbelanjaan, tangani urusan perbendaharaan kita secara berintegriti agar tidak terdorong dalam gejala rasuah yang menyebabkan ketirisan dalam perolehan.       Pengurusan aset secara efektif juga perlu diberi penekanan, dengan penggunaan yang cermat serta penetapan jadual penyelenggaraan secara berkala harus dipatuhi agar dapat memberi pulangan pelaburan serta manfaat dalam tempoh yang dijangkakan.
  1. Dengan memegang taraf autonomi juga, UNIMAS perlu mengekalkan peningkatan penjanaan sumber dalaman dalam lingkungan 7% dari tahun sebelumnya bagi memastikan Universiti berupaya membiayai 25% hingga 30% daripada perbelanjaan operasinya. Harus diambil kira perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dalam tahun ini turut memberi kesan kepada peningkatan kos operasi UNIMAS. Dalam memastikan unjuran aliran tunai yang efisien, bayaran perbelanjaan perlu dibuat dalam tempoh penghantaran yang ditetapkan kerana keadaan ini akan memadankan tempoh sebenar       barangan diperlukan, iaitu just in time bagi mengelak opportunity loss dalam bentuk wang dan masa.       Justeru setiap PTj disarankan mengatasi masalah pesanan rasmi yang belum berbayar yang semakin meningkat bagi tujuan yang dijelaskan, di samping hal ini merupakan wadah UNIMAS membantu menjana ekonomi masyarakat setempat.
    img20
  1. UNIMAS juga perlu bersedia dengan perancangan yang strategik dalam menvariasikan sumber penjanaan pendapatannya. Penambahan bilangan Tabung Endowmen serta pewujudan Tabung Wakaf secara konsisten dan agresif merupakan langkah yang dianggap tepat bagi mendapatkan kepercayaan pihak luar memberi sumbangan atau kolaborasi dalam penyelidikan, konsultasi mahupun projek usahasama. Ini semua mampu dilakukan menerusi penghasilan kertas cadangan yang berkualiti, ditambah strategi publisiti yang menampakkan visibiliti UNIMAS dan projek yang memberi manfaat secara mutual.
  1. Universiti juga mengambil maklum komitmen Fakulti dalam penambahan program-program akademik prasiswazah dan pascasiswazah untuk penawaran beberapa tahun mendatang. Kesemua program baharu ini nanti akan menambah kepada penjanaan pendapatan Universiti, serta nilai komersil program, terutama sekali program pascasiswazah. Pra-syaratnya adalah penawaran program hendaklah bersifat kontemporari, sejagat dan berkepentingan agar lebih berdaya saing dan menarik.


MEMPERKASA KEUNIKAN JENAMA UNIMAS

 

Saudara-saudari yang dihormati,

 

  1. Memperkasa jenama UNIMAS adalah amanah semua warga Universiti. Setiap aspek pengurusan dan pentadbiran, segenap lapisan warga, segala sisi peluang harus dimanfaatkan dengan sebaiknya. Tonjolkanlah bakat, sumbangkanlah usaha, julanglah nilai, dan hamburkanlah keyakinan terhadap seluruh ikhtiar Universiti untuk menjadi yang terbaik untuk masyarakat. Mengetahui sesuatu perkara yang betul tidak memadai dan bermakna jika kita tidak lakukan perkara yang betul. Ingat, kegagalan juga dapat diraih tanpa perlu pengerahan tenaga sedikit pun. Justeru, ayuh bangunlah warga UNIMAS, bangunlah dan terus maju ke hadapan dengan semangat 2015 dengan penuh integriti dan ikhlas.


  1. Atas dasar mendokong nilai tinggi Universiti, dan memberi lonjakan visibiliti kepada beberapa PTj yang dijangka akan memberi impak tinggi kepada jenama UNIMAS, pada hari ini, saya ingin mengumumkan penjenamaan beberapa PTj seperti berikut:
    img21
  • Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi kini dikenali sebagai UNIMAS Innovation,
  • Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa kini dikenali sebagai UNIMAS International,
  • Pusat Pengajian Siswazah kini dikenali sebagai UNIMAS Graduate School,
  • Bahagian Penerbitan kini dikenali sebagai UNIMAS Publisher, dan
  • Pejabat Penolong Naib Canselor (Keterlibatan Industri dan Komuniti) kini dikenali sebagai UNIMAS Engage.
    img22
  1. Proses penjenamaan ini juga akan melibatkan pusat kecemerlangan penyelidikan (CoE) sedia ada.       Kesemua Pusat Kecemerlangan sedia ada bakal dijenama semula dengan nama baharu di samping falsafah pengurusan, operasi dan sikap yang lebih reflektif kepada kluster-kluster bidang penyelidikan yang dijalankan. Tuntutan penjenamaan ini membolehkan kita meletakkan nilai tinggi kepada Universiti di samping memberi suntikan nafas baharu persepsi dan peduli pemegang taruh terhadap daya upaya Universiti menghadapi persaingan kanopi pengajian tinggi Negara.
  1. Tindakan ini juga bertepatan dengan langkah KPM yang menggariskan keperluan IPT tempatan untuk meningkatkan visibiliti global melalui jalinan kerjasama antarabangsa serta mencapai kedudukan dunia yang terbaik.       Demi menyahut cabaran ini, UNIMAS telah bersedia. Antaranya menerusi strategi jalinan kerjasama dengan Quacquarelli Symonds Limited, Singapore (QS) untuk mempromosikan UNIMAS di persada antarabangsa.       Kerjasama ini bakal membuka tirai kepercayaan dan keyakinan atas penjenamaan UNIMAS di dalam konvensyen, sistem atas talian, penerbitan dan jerayawara yang diadakan oleh pihak QS. Untuk itu, UNIMAS akan melalui proses pengauditan oleh QS bagi tujuan penarafan Bintang QS. Penarafan ini dijangka mampu meletakkan jenama UNIMAS amat dihormati dan disegani.
  1. Buat pertama kalinya di Sarawak, sukacita saya ingin mengumumkan cadangan Universiti untuk menubuhkan sebuah Business School, sebagai transformasi terbesar yang diterajui sebuah universiti awam di Sarawak. UNIMAS Business School akan memfokus kepada pengajian siswazah dan pengajian sepanjang hayat, seiring dengan hasrat Universiti untuk menyediakan peluang pendidikan yang terpilih di rantau ini. Penubuhan UNIMAS Business School (UBS) adalah tepat pada masanya, di ketika Kementerian Pendidikan Malaysia menyaran penekanan kepada ilmu Keusahawan. UBS juga bercadang untuk menawarkan program Eksekutif dan program Keusahawanan dan Perniagaan, dengan menekankan pendekatan “Hands-On Education Experience”. Enrolmen pelajar dijangka akan diambil dalam tahun ini.

 

  1. Saya akui bahawa proses membuat perubahan kadangkala menghadapi kesusahan dan kesulitan. Laksana musim dingin, basah dan lembap, tidak disukai insan, tetapi sesudah musim dingin berlalu itulah tumbuh bunga-bungaan dan buah-buahan yang harum dan segar. Sudah tiba masanya kita memberi nilai tambah, mengangkat keunikan jenama UNIMAS ke dalam golongan IPT elitis.
  2.  

    DOA DAN HARAPAN

    Saudara-saudari sekalian,

  3. Tahun 2015, UNIMAS akan berusia 23 tahun. Dalam usia sebegini seharusnya Universiti terus berfikir, kerana berfikir itu asas keluasan, membaca, kerana membaca itu asas kebijaksanaan, bekerja, kerana kejayaan tidak datang tanpa usaha, sembahyang, kerana sembahyang itu asas ketaatan, dan berkasih saying, kerana kasih sayang itu kurniaan Tuhan.
  1. img23Hari ini kita sedia maklum bahawa UNIMAS telah dinobatkan sebagai universiti kesembilan terbaik di Malaysia melalui QS Asia University Ranking (AUR) 2014 di samping penarafan autonomi, dianugerahkan SETARA TIER 5, di tempat ke-6 indeks akauntabiliti IPTA serta beberapa pencapaian lain. Kemajuan dan kejayaan yang ditempa bukan alasan untuk berpuas hati. Apatah lagi jika dibandingkan dengan universiti-universiti berprestij dunia yang lain, kita masih jauh lagi mengejar.       Atas dasar ini, kita perlu mempertingkatkan kualiti kerja, dan meletakkan amanah yang digalas pada tempatnya. Hidup biarlah berbakti, walaupun tidak sering dipuji.Usaha menjadikan UNIMAS terus relevan, terus dirujuk dan terus dihormati, serta kegiatan menjana ilmu baharu yang bermanfaat serta aktiviti pengasuhan dan pembentukan bakat pemimpin masa depan harus sentiasa diamati. Kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal semata, tetapi ia datang dari semangat yang berani dan tidak pernah mengalah.
    img24
  1. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk merealisasikan Pelan Strategik UNIMAS yang telah dirancang dan akan dijajarkan dengan PPPM (PT) dengan teliti serta komitmen yang tinggi. Keunikan jenama UNIMAS harus lebih dikenali, lebih visibiliti, kukuh jaringan industri, dan erat bersama masyarakat madani. Dengan demikian, UNIMAS akan sentiasa bertindak selaku komponen ekosistem masyarakat yang terpadu yang sentiasa memberi pengukuhan kepada masyarakat di persekitarannya, negara dan juga dunia global. Yang pasti, kita perlu tunjukkan kemampuan kita untuk mencapai sasaran ini selagi kita bekerjasama dalam sebuah pasukan yang sentiasa ikhlas, komited dan kolektif menerusi misi Memperkasa Keunikan Jenama UNIMAS. Insya-Allah.
    img25

Saudara-Saudari yang saya hormati sekalian,

 

Yang diberikan kepercayaan,

Yang diberikan kekuasaan,

Yang diberikan beban berat,

Yang diberikan tanggungjawab,

Yang diikat janji dan sumpah,

Yang disampai petuah amanah.


Padi Di Laman di Raut Lembut

Gadis Melambai Teruna Kekasih

Budi Tuan Puan di Sebut Sebut
Majlis Selesai dan Terima Kasih

Sekian, wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Muat turun Amanat NC 2015

Archive News

Universiti Malaysia Sarawak, 94300 Kota Samarahan, Sarawak, Malaysia Telephone: +60 82581000/+60 82581388, Fax: +60 82 665 088, Email: corporate@unimas.my
Copyright © 2015 Official Portal of Universiti Malaysia Sarawak. All Rights Reserved.
Last Modified on Thursday 28 January 2016.

Jom Masuk UMinistry of FinanceJPAMalaysian GovernmentMSCMyIDEAS1Malaysiakrstemyhealth
Sitemap
| Disclaimer | Policy | Manual | Portal Guidelines | Feedback |
FAQ
Best Viewed using Mozilla Firefox Version 3+,  Google Chrome or Internet Explorer Version 9+
This website does not support mobile version.
FOR TECHNICAL inquiries / comment AbOUT this website, contact :- webmaster(at)unimas.my

Visitors Counter : 3141395

This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

alexa