KOTA SAMARAHAN, 14 November 2015 : Ketua Menteri merangkap Pro Canselor UNIMAS, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pemuliharaan Alam Sekitar pada sidang pertama Majlis Konvokesyen UNIMAS ke-19 hari ini.
Penyampaian anugerah berkenaan telah disampaikan oleh Canselor UNIMAS, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Hj Abdul Taib Mahmud.
Turut disampaikan ialah penyampaian Anugerah Pendidikan DiRaja iaitu untuk Pingat Jaya Cemerlang kepada dua pelajar iaitu Anis Afiqah bin Ab Aziz (Bumiputera) dan Shantini a/p Ravichandar (bukan Bumiputera), Anugerah Canselor kepada Loo Qiu Xi dan Anugerah Pro Canselor kepada Kok Woon Chee.
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dato’ Dr Mohamad Kadim Suaidi dalam ucapan berkata, penganugerahan ijazah doktor kehormat itu sebagai mengiktiraf sumbangan gigih Ketua Menteri dalam memelihara dan memulihara alam sekitar negara ini, khususnya di negeri Sarawak agar dapat terus dinikmati oleh generasi masa depan.
Beliau berkata, peningkatan jumlah pelajar setiap tahun membuktikan bahawa UNIMAS menjadi UNIMAS akan terus meningkatkan pengambilan pelajar setiap tahun universiti pilihan pertama pelajar dari dalam dan luar negara untuk menyambung pengajian di peringkat prasiswazah dan siswazah.
“ Pada sesi pengambilan 2015/2016 seramai 3,892 pelajar baharu telah mendaftar. Ini menjadikan keseluruhan enrolmen 17,226 orang yang menjangkaui sasaran 15,000 pelajar menjelang tahun ini,” katanya.
Beliau menambah,daripada jumlah 17,226 orang, seramai 2,051 ialah pelajar siswazah.
Sementara itu, sidang pertama hari ini menyaksikan penyampaian ijazah kepada graduan dari Pusat Pengajian Siswazah seramai 347 orang dan graduan dari Fakulti Seni Gunaan dan kreatif seramai 485 orang.
Gambar : UNIMASimage