• default style
  • blue style
  • green style
  • red style
  • orange style
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

Perutusan Tahun 2010

on 21 Januari 2010.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat warga UNIMAS yang saya kasihi. Di permulaan tahun 2010 ini, saya dengan penuh kesyukuran ingin mengucapkan selamat tahun baru dan semoga ianya akan memberi kita kesihatan yang baik dan kejayaan yang berlipat ganda.

Di sini saya ingin merakamkan rasa syukur dan puas hati dengan segala pencapaian yang telah dicapai oleh UNIMAS pada tahun 2009. Sehubungan dengan itu, saya ingin menyampaikan rasa terimakasih dan syabas kepada semua warga UNIMAS, kerana sesungguhnya segala pencapaian ini adalah hasil usaha dan komitmen yang telah diberikan oleh rakan semua.

Dari sudut pengurusan, UNIMAS di sepanjang perjalanan tahun 2009 telah berusaha untuk memantapkan sistem jaminan kualiti yang sedia ada. Pelbagai aktiviti dan bengkel yang berkaitan dengan proses kerja dan pematuhan pelbagai sistem kualiti telah dianjurkan dan dilaksanakan. Walaupun masih banyak ruang yang boleh diperbaiki dan dipertingkatkan, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat kerana kita telah berjaya memantapkan asas sistem yang sedia ada.

Syabas sekali lagi, kerana dalam tempoh 16 tahun penubuhannya, program-program pengajian di UNIMAS sudahpun mantap dan kini berada di tahap kualiti yang amat memuaskan. Namun pada masa yang sama, sebagai sebuah institusi yang dinamik kita perlu sentiasa membuka ruang kepada peluang-peluang baru yang boleh diceburi sesuai dengan perkembangan dan keperluan semasa. Oleh itu saya berpendapat, untuk terus mempertingkatkan kedudukan UNIMAS sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang disegani, sudah tiba masanya untuk kita memikirkan untuk menawarkan beberapa program baru yang diperlukan oleh industri berdasarkan kekuatan dan kepakaran kita yang sedia ada.

Justeru itu, saya meminta pihak fakulti untuk melihat ke dalam kekuatan yang ada pada fakulti masing-masing atau melihat kepada kekosongan dalam keperluan pembangunan masyarakat atau industri yang perlu diisi dalam usaha untuk membangunkan program-program baru di UNIMAS. Sebagai sebuah universiti awam pertama yang beroperasi sepenuhnya di Sarawak, UNIMAS perlu sentiasa berada di hadapan dalam penjanaan ilmu di Sarawak. Kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan untuk UNIMAS menerajui SCORE dalam penyelidikan serta pembangunan sumber manusia adalah satu pengiktirafan kepada keupayaan UNIMAS dan kita perlu buktikan bahawa kita mampu menyumbang lebih daripada yang diharapkan.

Sebagai sebuah gedung ilmu, saya merasa sangat bangga kerana kita telah membuktikan bahawa kita juga adalah sebuah institusi pencetus ilmu yang dinamik. Penyelidikan di UNIMAS melonjak lebih tinggi pada tahun 2009 dengan penubuhan dua lagi pusat kecemerlangan iaitu "Centre of Excellence for Renewable Energy" dan "Centre of Excellence on Semantic Technology and Augmented Reality", yang mana masing-masing dikenali sebagai CoERE dan CoESTAR. Disamping itu juga, UNIMAS terus membuktikan keunggulan apabila penyelidik kita berjaya memperoleh pengiktirafan, baik dalam peringkat nasional mahupun peringkat antarabangsa.

Pada tahun lepas, kita juga telah berjaya memperoleh pertambahan dalam jumlah geran penyelidikan dan perundingan dari pihak industri dan badan-badan korporat. Dalam tahun 2009 sahaja, beberapa memorandum persefahaman dan perjanjian telah ditandatangani diantara UNIMAS dengan badan-badan berkanun, institusi pengajian tinggi lain, dan pihak industri. Ini membuktikan bahawa kepakaran kita adalah relevan dengan keperluan sedia ada industri dan negara.

Dan untuk terus memperkasakan kedudukan UNIMAS sebagai sebuah institusi pendidikan dan penyelidikan yang unggul, beberapa projek pembangunan fizikal di bawah RMK-9 telah dimulakan pada tahun 2009 dan kini sedang berjalan dengan rancak. Antara projek yang dijangka akan siap pada tahun ini adalah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Fakulti Sains Sosial dan Institut Pengajian Asia Timur, serta Kemudahan Pengajaran Sentral.

Disamping itu, juga dijangka siap pada tahun 2010 ini adalah Dewan Utama UNIMAS bagi menampung antara lain, majlis konvokesyen, persidangan dan pelbagai aktiviti rasmi yang lain; dan juga Kompleks Sukan dan Rekreasi bagi menyokong keperluan pembangunan insaniah pelajar dan aktiviti sukan untuk semua warga kampus.

Menyentuh tentang pelajar, saya merasa teruja melihat kerancakan kegiatan yang dianjurkan oleh pelajar di UNIMAS. Syukur kerana penyertaan pelajar adalah tinggi sama ada di peringkat kelab, persatuan, fakulti ataupun kolej. Bangga kerana penyertaan pelajar UNIMAS menyerlah dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan diperingkat Kementerian Pengajian Tinggi dan juga dalam kalangan IPT lain.

Namun begitu, UNIMAS sedar bahawa kejayaan seseorang itu bila berada di luar nanti, memerlukan lebih daripada kemahiran dalam bidang yang diceburi. Dan pada pandangan universiti, tanggungjawab universiti tidak berhenti hanya dengan memberi pengetahuan yang diperlukan dalam menjalankan tugasan yang khusus. Dalam persaingan dunia pekerjaan kini, seorang graduan perlu mempunyai kelebihan-kelebihan lain untuk berjaya dalam bidang yang diceburi. Justeru itu, kursus-kursus kemahiran insaniah dan keusahawanan juga telah ditawarkan untuk menyediakan graduan yang lebih berdaya saing dan mempunyai sifat jati diri yang tinggi untuk meningkatkan peluang mereka mendapatkan pekerjaan dan bertahan dalam dunia pekerjaan nanti.

Warga UNIMAS yang saya kasihi, termasuk para pensyarah, staf pengurusan dan profesional, staf sokongan dan pelajar sekalian, saya percaya kita mampu melakukan segala apa yang kita rancang dengan cemerlang. Pengalaman saya bersama-sama dengan rakan semua membuktikan bahawa warga UNIMAS adalah warga yang bersemangat dan komited. Dan seiring dengan komitmen dan semangat tersebut, serta kepelbagaian kebolehan dan kepakaran yang sedia ada, kita mampu bergerak sebagai sebuah pasukan yang cukup kuat dalam melaksanakan visi dan misi UNIMAS.

Bagi tahun 2010, saya memohon agar kita merenung sejenak apa yang telah dilalui dalam tahun yang lalu, jadikan segala kesilapan dan kelemahan di tahun lepas sebagai tauladan dan pengajaran untuk kita terus memperbaiki dan meningkatkan keupayaan diri.

Komitmen ke arah kecemerlangan adalah suatu perjalanan tanpa noktah, ianya adalah apa yang kita praktik dan usahakan dalam tugasan kita setiap hari. Kita hanya perlu ingat bahawa setiap langkah atau tindakan yang kita ambil hendaklah dilakukan dengan nilai kecemerlangan. Justeru itu, saya menyeru supaya kita terus pertingkatkan usaha, perkukuhkan azam dan keyakinan kita untuk membolehkan UNIMAS terus maju ke arah kecemerlangan dan kegemilangan.

Akhir sekali, saya sekali lagi ingin merakamkan rasa bertuah kerana mempunyai warga kampus yang dapat menghayati wawasan UNIMAS dan begitu komited kearah mempertingkatkan kecemerlangan UNIMAS. Insya Allah, jika kita bersatu hati dan bergerak sebagai sebuah pasukan, UNIMAS sudah pasti akan muncul sebagai sebuah universiti yang cemerlang, yang akan menjadi kebanggaan kita semua dan menjadi universiti pilihan untuk semua lapisan masyarakat.

 

Prof Dr Khairuddin Ab. Hamid

Naib Canselor

Arkib Berita

Universiti Malaysia Sarawak, 94300 Kota Samarahan, Sarawak, Malaysia Telephone: +60 82581000/+60 82581388, Fax: +60 82 665 088, Email: corporate@unimas.my
Copyright © 2015 Official Portal of Universiti Malaysia Sarawak. All Rights Reserved.
Tarikh terakhir kemaskini: Khamis 28 Januari 2016.

Jom Masuk U Logo MOF Logo JPA logo Malaysian Govt Picture  MSC Logo MyIDEAS Logo 1Malaysia Logo krste myhealth
Peta Laman | Penafian | Polisi | Panduan Portal | Maklum Balas | FAQ
Paparan terbaik  menggunakan  Mozilla Firefox Version versi 3+,  Microsoft Internet Explorer Versi 9+ atau Google Chrome
Laman web ini tidak menyokong paparan dalam mobile.
Untuk sebarang pertanyaan atau komen mengenai laman web ini,
HUBUNGI :- WEBMASTER(AT)UNIMAS.MY 

Tarikh terakhir kemaskini: Khamis 28 Januari 2016.

Visitors Counter : 3172735

 

Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.

alexa