• default style
  • blue style
  • green style
  • red style
  • orange style
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

CIPTA lahir pelajar kreatif

on 22 April 2010.

Nurul Aniza Mijan menunjukkan hasil projek tukun tiruan piramid ciptaannya diperbuat daripada kulit kerang terbuang di Unimas, Kuching, Sarawak, baru-baru ini. -UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN

 

SAMARAHAN 20 April - Cetusan inspirasi pelajar tahun akhir (CIPTA) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) mungkin asing bagi masyarakat luar yang pertama kali mendengar mengenai perkara itu.

Namun, bagi pelajar tahun akhir Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Unimas, CIPTA adalah program yang amat penting bagi pelajar berkenaan kerana ia merupakan pra syarat bagi mereka menamatkan pengajian di universiti berkenaan.

Ia juga disebut sebagai projek akhir, pelajar diberikan masa selama satu tahun untuk menyiapkan projek mereka dengan dibantu oleh penyelia yang juga pensyarah fakulti.

Sebagai acara tahunan, pelajar dikehendaki menganjurkan satu pameran dengan menunjukkan kemantapan idea, penyelidikan, pemilihan serta teknik yang bersesuaian dengan karya masing-masing.

Namun, bagi pelajar berkenaan, projek akhir itu bukan penghalang bagi mereka menghasilkan sesuatu yang baru atau kreatif untuk menyiapkan projek tersebut yang mungkin pada satu hari nanti boleh dikomersialkan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kira-kira 100 pelajar yang terlibat dengan pameran itu bersemangat untuk mempersembahkan projek ciptaan mereka kepada pengunjung.

Manakan tidak, selepas hampir satu tahun berusaha menyiapkan projek, inilah masa untuk mereka menunjukkan kemampuan kepada orang ramai terutamanya pemain industri yang mungkin berminat dengan ciptaan itu.

Salah satu pameran pelajar yang amat menarik perhatian ialah projek tukun tiruan piramid hasil ciptaan Nurul Aniza Mijan, 23, yang menjadikan kulit kerang terbuang sebagai satu bahan penting kepada projek yang dilaksanakan.

Kata pelajar dari Sekinchan, Selangor itu, menyedari akan lambakan kerang yang banyak di negara ini, dia ingin mengaplikasikan kelebihan itu kepada sesuatu yang bermanfaat kepada rakyat negara ini.

Dengan kerjasama dari Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Jabatan Perikanan Selangor, katanya, dia menjadikan kulit kerang sebagai bahan alternatif kepada pembinaan asas tukun itu selain penggunaan simen, pasir dan batu.

''Penggunaan tukun kulit kerang berjaya menggalakkan pembiakan hidupan laut dalam masa yang lebih singkat berbanding tukun tiruan kosong.

''Perkara ini dapat membantu pengkomersialan kulit kerang yang sebelum ini hanya dibuang begitu sahaja setelah isinya diambil.

''Malah, ia juga mampu menjadi penapis air secara semula jadi memandangkan kerang menyerap logam-logam berat sekali gus mengelakkan air berbau hanyir," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Nurul Aniza memberitahu, tukun tiruan piramid ciptaannya mempunyai ketinggian 1.2 meter dan lebar 9.8 meter dan mampu tahan sehingga 25 tahun dengan bermodalkan kira-kira RM300 untuk satu tukun.

Menerusi kajiannya, tukun tiruannya itu berjaya menggalakkan pertumbuhan hidupan laut dalam tempoh dua bulan setelah diletak di dalam air berbeza dengan tukun tiruan yang diimport dari luar negara yang mengambil masa lebih lama.

''Malah struktur reka bentuk tukun juga memberi kelebihan kepada kestabilan tukun daripada bergerak ke tempat lain," jelasnya.

Tambahnya, dia sedang mengusahakan untuk mempatenkan ciptaannya itu dan pada masa yang sama mendapatkan geran untuk menjadikan tukun ciptaannya itu satu kenyataan kelak.

Sama seperti Nurul Aniza, Noor Ashikin Ismail, 26 juga memanfaatkan sepenuhnya kelebihan bahan-bahan terpakai di dalam projek akhirnya yang diberi nama potensi kayu belian dalam industri pembuatan kraf.

Katanya, setelah melihat penggunaan kayu belian hanya digunakan untuk hiasan dalaman rumah seperti kerusi dan meja, terdetik di hatinya untuk menghasilkan lebih daripada itu.

Justeru, katanya, dia cuba menghasilkan sesuatu yang baru dengan menghasilkan aksesori wanita seperti beg tangan dengan menggunakan bahan utama iaitu kayu belian.

''Dengan penggunaan bahan seperti fabrik, kayu belian dan kulit, saya mampu menghasilkan sesuatu produk yang lebih berkualiti dan tahan lama.

''Malah, ia juga lebih ringan seperti tanggapan ramai yang menyifatkan sifat fizikal kayu belian yang terbukti berat," katanya.

Kata anak jati Kuala Terengganu itu, dia membelanjakan kira-kira RM400 bagi menyiapkan lima unit beg tangan iaitu satu daripadanya mengambil masa dua minggu untuk disiapkan.

Dia berhasrat untuk mempatenkan produknya itu sebelum mengkomersialkan penggunaan beg tangan berkenaan untuk pasaran tempatan suatu hari nanti.

''Saya mahu perluaskan penggunaan kayu belian ini ke peringkat yang lebih tinggi kerana kayu belian ini terbukti lebih tahan dan berkualiti serta banyak didapati di kepulauan Borneo sahaja," katanya.

Sementara itu, Nor Asnira Mohamad, 24, turut memanfaatkan kelebihan bahan-bahan terpakai ke atas projek ciptaannya dalam penghasilan tenunan tekstil kontemporari.

Tambahnya, daripada bahan terpakai seperti jeans, guni dan plastik, dia mampu menghasilkan teknik tenunan dan sulaman yang menarik berasaskan sumber sumber alam.

 

Extracted from Utusan Online.

Arkib Berita

Universiti Malaysia Sarawak, 94300 Kota Samarahan, Sarawak, Malaysia Telephone: +60 82581000/+60 82581388, Fax: +60 82 665 088, Email: corporate@unimas.my
Copyright © 2015 Official Portal of Universiti Malaysia Sarawak. All Rights Reserved.
Tarikh terakhir kemaskini: Khamis 28 Januari 2016.

Jom Masuk U Logo MOF Logo JPA logo Malaysian Govt Picture  MSC Logo MyIDEAS Logo 1Malaysia Logo krste myhealth
Peta Laman | Penafian | Polisi | Panduan Portal | Maklum Balas | FAQ
Paparan terbaik  menggunakan  Mozilla Firefox Version versi 3+,  Microsoft Internet Explorer Versi 9+ atau Google Chrome
Laman web ini tidak menyokong paparan dalam mobile.
Untuk sebarang pertanyaan atau komen mengenai laman web ini,
HUBUNGI :- WEBMASTER(AT)UNIMAS.MY 

Tarikh terakhir kemaskini: Khamis 28 Januari 2016.

Visitors Counter : 3172524

 

Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.

alexa